THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Sunday, January 10, 2010

cerita mama...

Bertarung nyawa 15 jam lahirkan kembar

Lawatan ke doktor untuk mengesan jantina anak dalam kandungan mengkhabarkan berita yang mengejutkan. Suami isteri ini tidak menyangka perlu menggandakan semua yang dibeli untuk menyambut kelahiran bayi ketiga mereka. HASNITA SAWAL berkongsi kegembiraan tersebut.

Mulanya Siti NorMohammad, 35, tidak percaya bila orang mengatakan pasangan kembar berkongsi perasaan yang sama. Tetapi bila perkara tersebut berlaku pada anak kembarnya Amer Haqem dan Amer Hazem, tiga tahun, Siti tidak menyangka ia bukan sekadar kata-kata.

“Saya sukar untuk mempercayai kembar mempunyai rasa yang sama. Suatu hari Amer Haqem terjatuh dan lututnya berdarah. Amer Hazem berada jauh dari tempat tersebut. Setelah saya merawat luka Haqem , Hazem datang kepada saya dengan suara yang seakan menangis dan memberitahu kakinya sakit dan dia menunjukkan kaki yang sama di mana Haqem luka tapi tidak ada luka di bahagian tu.

Setiap hari mereka akan berpakaian sama, jika salah seorang daripada mereka menukar pakaian disebabkan basah atau kotor yang seorang lagi akan meminta ditukarkan pakaian juga,” Siti berkongsi pengalaman sebagai ibu anak kembar.

Melalui sendiri pengalaman membesarkan anak kembar, Siti akui tanggapannya selama ini salah. Jika dulu apabila melihat pasangan yang dikurniakan anak kembar dia berasakan mereka mungkin mengalami kesukaran untuk menguruskan dan membesarkan anak-anak kembar mereka .

“Tetapi apabila mengalami sendiri pengalaman tersebut ia tidaklah sesukar mana, malah berasa seronok dapat berinteraksi dengannya. Proses pembesaran yang dilalui juga menarik di mana kita dapat lihat mereka saling bersaing antara satu sama lain untuk melakukan sesuatu.

Sebagai contoh si adik mula dahulu proses meniarap, merangkak dan dalam satu atau dua hari ia diikuti oleh si abang tetapi abang terlebih dahulu berjalan dan bercakap.”

Terkejut
Kebanyakan pasangan yang bakal menimang anak begitu teruja untuk mengetahui jantina anak mereka. Begitulah yang dilakukan oleh Siti dan suaminya Shazzly Sha’ari, 36, yang mendapatkan rawatan dengan Pakar Sakit Puan di Hospital Pantai Ayer Keroh ketika hamil enam bulan.

“Saya terperanjat setelah doktor tersebut memberitahu bahawa saya mengandung anak kembar dan jantina mereka kedua-duanya lelaki. Padahal sebelum tu saya ada membuat pemeriksaan dan doktor tidak memberitahu pada perbezaan kandungan saya."

Ini adalah anak kami yang ketiga dan keempat,” ceritanya membeli semua pakaian bayi dua pasang yang sama warna dan corak kerana amat teruja disebabkan pasangan kembar merupakan kembar pertama dalam kedua-dua belah keluarga.

Sebelum ini mereka tidak mengetahui bahawa sebenarnya dalam sejarah keluarga mereka berdua memang mempunyai genetik kembar. Namun setelah disahkan Siti hamil kembar barulah ibunya membuka cerita bahawa moyangnya adalah kembar sementara di sebelah suami pula, bapa saudaranya pun pasangan kembar. Disebabkan pasangannya telah meninggal dunia lebih 30 tahun dahulu suaminya tidak mengetahui.

Mengimbas kembali pengalaman mengandungkan si kembar, Siti akui dia tidak mengalami sebarang alahan. Sebelum mengetahui kandungannya adalah kembar, pembesaran perutnya agak luar biasa dan dalam bulan keempat dia sudah mula memakai pakaian ibu hamil sedangkan ketika hamil anak pertama dan kedua dia hanya memakainya bila kandungan genap masuk enam bulan.

“Disebabkan tiada alahan, saya berselera makan apa sahaja makanan yang terhidang. Saya cuma mengalami masalah tidak boleh tidur dan sukar untuk berjalan pada bulan kelima kehamilan,” Siti berkongsi pengalamannya.

Detik melahirkan
“Memang mencemaskan saatmelahirkan anak kembar ini,” demikian Siti menceritakan kembali kenangan melahirkan anak tiga tahun lalu. Menurutnya rasa tidak selesa seperti tanda-tanda hendak melahirkan bayi mula dirasakan tepat jam 12 tengah malam pada 30 September 2006.

Ketika itu dia dan suami bergegas ke hospital. Kontraksi selang 15 minit berlaku pada kandungan yang baru berusia 36 minggu. Tetapi bukaan servik tetap tidak sampai pun 3 sm.

Oleh kerana waktu itu umat Islam baru mengerjakan ibadah berpuasa selama seminggu, maka suami pulang ke rumah jam 4 pagi untuk bersahur. Tetapi rasa gelisah dan cemas mengenangkan keadaan anak-anak dan isteri tercinta, dia kembali semula ke hospital.

“Pukul 9 pagi saya telah di induce dan doktor datang memeriksa kedudukan bayi-bayi saya. Saya hanya bersalin pada pukul 2.58 petang. Bermakna saya berada dalam bilik bersalin selama 15 jam.

Bayi pertama keluar secara normal pada pukul 2.58 petang bernama Amer Haqem dengan berat 3.0kg dan yang kedua lahir selang tiga minit secara normal juga pada pukul 3.01 petang bernama Amer Hazem seberat 2.70kg.

Sepatutnya bayi ketiga berada dalam keadaan “breech” boleh pusing ke bawah. Disebabkan kaki bayi ketiga terkeluar sedikit maka doktor telah memegang kakinya dan bayi kedua keluar songsang secara normal.

Alhamdulillah semuanyaselamat.”

Tip uruskan kembar
Prihatin dengan kehendak mereka dan selalu berlaku adil adalah cara Siti dan suami membesarkan anak kembarnya. Menurut Siti lagi, pasangan kembar sudah pandai bercakap dan saling bertengkar tentang sesuatu rancangan televisyen dan kadang kala bercerita satu sama lain.

“Si abang Haqem seorang pelindung. Jika ada sesiapa yang mengganggu adiknya, dengan sendirinya dia akan marah. Manakala adik, seorang yang manja dan nakal.

Mereka terlalu meminati permainan kereta dan motosikal selain kegemaran terbaru gajet Transformer,” ujarnya yang mengamalkan perancangan keluarga dengan alasan keadaan ekonomi, kesukaran mendapatkan penjaga yang baik dan perhatian daripada ibu bapa yang bekerja.

Dia turut memberitahu sebagai ibu bapa anak kembar mereka perlu bersedia daripada segi mental dan kewangan. Tetapi tetap percaya dengan rezeki anak-anak yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Selain itu katanya, pasangan juga perlu saling tolong menolong serta bertolak ansur dalam sesetengah keadaan dan masa.

0 comments: