THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Sunday, January 10, 2010

'kembar...twin..'idamanku

PENANTIAN YANG BERBALOI

Tempoh 13 tahun selepas kelahiran anak pertama, Azlinda Ismail, 41, dikejutkan dengan berita hamil bayi kembar. HASNITA SAWAL menyingkap pengalamannya bergelar ibu kepada sepasang puteri kembar yang comel.

Seperti mana perasaan pasangan lain yang menerima berita hamil anak kembar, itulah yang di rasai oleh Azlinda dan suami Ismail Sayuti, 44. Biarpun sejarah kembar sememangnya wujud dalam keluarga mereka berdua tetapi kehadiran pasangan kembar merupakan yang pertama di kalangan adik- beradik Azlinda dan suaminya. Namun jauh disudut hati Azlinda, dia berasa risau dan takut memikirkan tahap kesihatan diri dan kembar serta bagaimana hendak membesarkannya. Apatah lagi ketika mengandungkan si kembar, usianya sudah menjangkau angka 38.

“Walau bagaimanapun kami sangat teruja dan bersyukur kerana selepas 13 tahun melahirkan anak sulung tiba-tiba mendapat berita kembar ini. Anak sulung dan saudara mara terdekat menerima berita ini dengan gembira dan memberi kami sokongan moral. Anak kembar kami sangat dinantikan dengan penuh debar dan rasa gembira,” dia yang hamil kembar secara semulajadi berkongsi perasaannya.

Baginya, anugerah dari Allah SWT ini tidak semua dirasai oleh manusia. Walaupun percaya membesarkan anak kembar punya cabaran tersendiri tetapi selepas melaluinya, dia akui ia satu pengalaman yang sukar digambarkan. Maka, pasangan yang dikurniakan anak kembar seharusnya rasa bertuah.

Seiras tetapi berbeza
Oleh kerana hamil bayi kembar pada usia berisiko dan jarak berbelas tahun diambil sejak melahirkan anak sulung, Azlinda dinasihatkan oleh doktor sakit puannya agar melahirkan secara pembedahan caesarean.

Sesungguhnya Tuhan itu Maha Adil kerana mengurniakan sedikit kesenangan kepada Azlinda yang tidak mengalami sebarang alahan teruk semasa mengandung. Bahkan bentuk fizikalnya menjelang lapan bulan usia kehamilan tetap kelihatan seperti hanya hamil seorang bayi.

“Ada sekali sahaja masalah yang saya alami iaitu bila kandungan berusia 34 minggu, saya dimasukkan ke wad kerana ada minor contraction disebabkan terlalu aktif. Tetapi doktor menasihatkan saya agar mengelakkannya daripada berulang sehingga paru-paru bayi matang. Suntikan diberi agar kembar dapat bertahan beberapa minggu lagi di dalam perut,” ujar Azlinda yang melahirkan anak kembarnya semasa kandungan berusia 36 minggu.

Kelahiran yang dinantikan berakhir pada jam 9 pagi hari Jumaat bersamaan 15 September 2006. Nuratiqah yang memegang gelaran kakak dilahirkan dengan berat 2 kg manakala Nuraqilah pula hanya 1.68 kg. Kedua-duanya diletakkan dalam inkubator kerana masalah berat badan yang ringan. Mereka berdua juga minum susu melalui sudu kecil khas yang diberikan pihak hospital dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap sehingga genap usia sebulan.

Menyambut ulang tahun yang ke-3 September lalu, kembar seiras ini jika diperhatikan betul-betull mempunyai iras wajah yang agak berbeza walaupun berada di dalam satu uri yang sama dalam kandungan. Malahan perangai dan karakter mereka juga jelas berbeza.

Nuratiqah telah memperlihatkan ciri-ciri seorang kakak di mana apabila mengambil sesuatu makanan atau barangan pasti akan meminta untuk adiknya Nuraqilah. Kadang-kadang Nuratiqah akan berjalan sambil memimpin tangan adiknya. Nuraqilah pula bersifat agak manja sesuai sebagai adik.

“Selera mereka juga berbeza dimana kakak gemar aiskrim dan coklat manakala adik meminati makanan bergoreng dan kekacang. Dari segi pakaian adalah lebih baik diberi pakaian yang sama corak dan warnanya kerana jika berlainan mereka akan berebut pada pakaian yang sama,”demikian menurut Azlinda yang banyak membaca buku cara mendidik dan membesarkan anak kembar sejak mengandung lagi.

Kelebihan anak kembar
Melihat keletah dan perangai pasangan kembar memang sesuatu yang menggembirakan. Mereka bukan sahaja makan bersama, bermain bersama, berinteraksi bersama malah bergaduh pun bersama. Adakalanya sehingga bergigitan sesama mereka.

Mempunyai anak kembar yang sama jantina ada kebaikannya dari segi permainan adalah daripada jenis yang sama jadi tidak perlulah membeli satu robot dan satu lagi anak patung. Cuma permainan yang sama adakalanya boleh mencetuskan perebutan tetapi apabila salah seorang daripada mereka tiada maka seorang lagi akan sibuk mencari.

“Bagusnya anak kembar dapat secara automatik mendidik mereka berinteraksi sesama mereka, berkomunikasi dengan bahasa mereka sendiri, belajar bertolak ansur dan berkongsi dan paling utama mereka kadangkala mempunyai sikap berlumba-lumba. Misalnya bila kita minta tolong masing-masing akan berlumba nak membantu. Adakalanya kalau kita memarahi salah seorang dari mereka yang seorang lagi sama ada memarahi kita semula atau pun turut menangis bersama kembarnya tanda protes atau sama- sama rasa sedih,” ujarnya bercerita perangai si kembar.

Bercerita mengenai persediaan, Azlinda dan suami mengakui banyak membuat persediaan sebelum kelahiran Atiqah dan Aqilah. Selain menambah ilmu pengetahuan, persediaan spiritual dilakukan dengan banyak membaca Al-Quran dan berdoa agar Allah SWT mengurniakan zuriat yang sihat dan sempurna. Sementara dari segi kewangan mereka sedia maklum perbelanjaan material dan kesihatan akan menjadi berganda. Sokongan moral terutama daripada suami sesuatu yang diharapkan oleh ibu hamil kembar.

“Kami juga perlu sediakan minda untuk menerima sebarang kemungkinan yang boleh berlaku pada bayi kembar kami. Oleh itu saya lakukan pemeriksaan 3 Di mensional Scanning (3D) semasa usia kembar lebih kurang lima minggu. Melaluinya kami bukan sahaja melihat jantina tetapi keadaan jari jemari, jantung serta organ-organ lain sama ada kecacatan atau tidak.

Sekurang-kurangnya kami dapat bersedia sekiranya anak kembar kami tidak sihat atau tidak normal. Tetapi Alhamdulillah hasil scan menunjukkan mereka sihat dan normal,” katanya sambil menambah hanya seorang kembar sahaja pasti jantinanya adalah perempuan.

TIPS-Azlinda urus anak kembar

1. Banyak bersabar dan tabah menjaga anak kembar terutama pada tahun pertama kelahiran. Ketika ini bayi selalu bangun malam yang mana kalau mereka bangun serentak atau waktu berlainan. Seandainya tidak mampu uruskan sendirian, segeralah minta bantuan daripada suami atau saudara-mara terdekat kerana sokongan moral dan bantuan perlu untuk meringankan beban dan tekanan.

2. Tahun pertama kelahiran juga bayi kerap jatuh sakit terutamanya demam. Selalunya bila seorang bayi kembar demam yang seorang lagi akan turut demam tetapi tidak semestinya pada masa yang sama. Kadang-kadang selepas seorang pulih baru yang seorang lagi dijangkiti. Oleh itu kebersihan amat perlu dijaga.

3. Persediaan dari segi kewangan harus diberi perhatian kerana perbelanjaan anak kembar sememangnya agak tinggi. Ini termasuk kos membeli susu, lampin pakai buang, peralatan bayi seperti katil bayi, pakaian dan sebagainya. Tidak lupa kos perubatan suntikan sehingga bayi berumur dua tahun. Walau bagaimanapun berbelanjalah mengikut kemampuan masing-masing.

4. Beri perhatian, tumpuan dan kasih sayang yang sama rata kepada anak kembar kerana mereka juga ada rasa cemburu dan iri hati. Walaupun mereka anak kembar tetapi minat, kecenderungan, perangai mereka berlainan. Oleh itu jangan membezakan mereka.

0 comments: